ALOR SETAR: Lelaki yang ditahan polis kerana menceroboh Wisma Darul Aman Ahad lalu, selain mengeluarkan pisau pada pengawal keselamatan akan didakwa di Mahkamah Alor Setar, esok.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Syed Basri Syed Ali berkata, lelaki itu akan didakwa atas dua pertuduhan iaitu membabitkan kesalahan memiliki senjata berbahaya di tempat awam dan pencerobohan jenayah.

Beliau berkata, suspek akan didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB 1958) serta Seksyen 447 Kanun Keseksaan.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki berusia 45 tahun ditahan polis selepas memasuki kawasan Wisma Darul Aman, di sini tanpa berhenti sewaktu melalui pemeriksaan pos pengawal keselamatan sebelum mengeluarkan sebilah pisau ke arah pengawal keselamatan terbabit, Ahad lalu.