Melaka: Penganggur dihukum penjara 13 tahun oleh Mahkamah Tinggi, hari ini kerana menyebabkan kematian tanpa niat wanita warga emas yang dikenalinya, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk DJP Suria Kumar membuat keputusan itu selepas tertuduh, D Peter, 23, mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan.

Suria berkata, hukuman terbabit dikenakan selepas menimbang rayuan peguam, hujahan pemberat daripada pihak pendakwaan dan laporan sosial tertuduh serta memerintahkan hukuman penjara bermula dari tarikh ditangkap pada 20 Januari 2023.

Mengikut pertuduhan pilihan, lelaki itu didakwa menyebabkan kematian Misah Amin, 91, tanpa niat membunuhnya di sebuah rumah di Kampung Pulai Darat, Merlimau, Jasin pada 1.30 pagi, 20 Januari 2023.