KUALA LUMPUR: Pemilikan emas menerusi platform digital dengan modal permulaan serendah RM10 membuka peluang kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana untuk membina aset secara berperingkat, sekali gus memperluas akses terhadap instrumen simpanan itu dalam kalangan masyarakat.

Ketua Pos ArRahnu, Mohamed Zubair Peerpulavar berkata, inisiatif menerusi Pos ArRahnu Gold-i diperkenalkan bagi mengubah persepsi bahawa pemilikan emas memerlukan modal yang besar, khususnya dalam kalangan golongan muda yang belum mempunyai kemampuan membeli emas fizikal.

Menurut beliau, platform berkenaan membolehkan pelanggan membeli emas mengikut kemampuan masing-masing sebelum mengumpul simpanan sehingga mencapai jumlah minimum 0.5 gram untuk ditukarkan kepada emas fizikal.