PAPAR - Lima penumpang warga emas parah parah manakala 17 lagi cedera ringan selepas bas persiaran yang dinaiki mereka terbabas ketika menuruni bukit dalam kejadian di Jalan Bukit Kimanis-Keningau, di sini pada Rabu.Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, kesemua 21 individu termasuk pemandu bas tersebut dalam perjalanan dari Keningau menuju ke Labuan.Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Nelson Ponji berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.34 tengah hari.Katanya, seramai enam anggotanya dibantu dua anggota BBP Papar dikejar ke lokasi yang terletak sejauh 25 kilometer dari BBP Kimanis."Kejadian melibatkan sebuah bas persiaran yang membawa 21 penumpang. Berdasarkan maklumat awal, bas berkenaan dipercayai hilang kawalan ketika menuruni bukit sebelum terbabas ke bahu jalan."Pasukan bomba bergerak ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi menyelamat serta memberikan bantuan kepada mangsa yang terlibat," katanya dalam kenyataan.Nelson berkata, sebaik tiba dilaporkan terdapat mangsa tersepit di dalam bas tersebut."Bagaimanapun, mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba manakala 17 mangsa lagi hanya mengalami kecederaan ringan."Lima mangsa yang parah melibatkan dua lelaki berusia 71 dan 64 tahun yang mengalami kecederaan bahagian kepala, dada, bahu dan patah tangan serta bengkak."Sementara itu, tiga lagi wanita berusia antara 60 hingga 64 tahun masing-masing cedera bahagian dada, kepala, patah kaki dan patah jari," katanya.Susulan kejadian itu, Nelson berkata, pihaknya bertindak memberikan rawatan awal kepada mangsa yang cedera sebelum mereka dihantar ke hospital."Operasi kemudian ditamatkan pada jam 2.55 petang selepas anggota kita memastikan tiada bahaya lain di lokasi tersebut," katanya.