KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh dari sebuah blok pangsapuri di Taman Bukit Segar, Batu 9 Cheras, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa pada pukul 3.46 petang.

“Sepasukan pegawai polis bersama pasukan forensik telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pemeriksaan dan siasatan lanjut dan mendapati mangsa berada dalam keadaan tertiarap dan disahkan meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang kecederaan yang menunjukkan wujudnya unsur jenayah.