Batu Pahat: Suri rumah yang didakwa memfitnah rakan lama kononnya menjalin hubungan sulit dengan pengurus kilang menerusi hantaran di Facebook, diperintahkan menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor Bahru.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen, Osman Affendi Mohd Shalleh, hari ini, selepas pihak pendakwaan mengemukakan rekod rawatan tertuduh, Ang Chiu Ling, 42, yang pernah mendapatkan rawatan sebelum ini.
Tertuduh yang juga ibu kepada tiga anak berdepan tiga pertuduhan termasuk memfitnah dan melakukan pemerasan terhadap mangsa, seorang pengurus wanita berusia 63 tahun.
Ang mengaku bersalah terhadap pertuduhan dibacakan namun mahkamah memerintahkannya menjalani pemeriksaan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah bagi menentukan tahap keupayaan mentalnya untuk menghadapi prosiding mahkamah.








