KERALA - Kesungguhan Mufti Besar India, Sheikh Abubakr Ahmad menjadikan ilmu agama sebagai asas kemajuan sosial dan khidmat kemanusiaan memberi inspirasi kepada Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj.Timbalan Menteri Perpaduan Negara itu berkata, penekanan beliau terhadap nilai kasih sayang, kesederhanaan, keharmonian dan persefahaman antara agama menjadikan teladan penting dalam membina masyarakat yang mampu hidup dalam kepelbagaian."Agama seharusnya menjadi sumber kasih sayang, persefahaman dan harapan manakala institusi serta pemimpin agama bertanggungjawab memupuk sikap saling menghormati dan menolak fahaman ekstremisme."Peranan itu juga mendekatkan masyarakat melalui nilai kemanusiaan sejagat," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.Sheikh Abubakr merupakan tokoh ilmuwan Islam dan pemimpin agama yang disegani atas sumbangan besarnya dalam bidang pendidikan dan kebajikan kemanusiaan.Beliau turut menyumbang dalam usaha membasmi kemiskinan dan membantu golongan anak yatim serta masyarakat kurang berkemampuan.Yuneswaran menyatakan pemimpin agama memainkan peranan penting dalam membentuk masyarakat bertanggungjawab, menyemai nilai murni dan memperkukuh perpaduan antara masyarakat berbeza agama, kaum serta latar belakang.Tambah beliau, kunjungan hormat ke atas Abubakr di Kerala memberi peringatan bahawa kekuatan sebenar sesebuah masyarakat bukan hanya terletak pada pembangunan material, tetapi juga pada nilai kemanusiaan, keprihatinan, kasih sayang dan perpaduan."Semoga kebijaksanaan, kepimpinan dan segala jasa serta sumbangan beliau terus menjadi inspirasi kepada generasi akan datang," ujarnya.