KUALA LUMPUR: Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) berhasrat memperkukuh kerjasama dalam membangunkan Awan Kecerdasan Buatan (AI) Berdaulat Malaysia.

Ia dengan AS menyediakan dana berjumlah AS$50 juta melalui program SI SPARK bagi menyokong inisiatif itu, tertakluk kepada persetujuan antara kedua-dua kerajaan berhubung terma serta skop bantuan berkenaan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Presiden AS, Donald Trump, semalam mengumumkan hasrat kedua-dua negara menjalinkan kerjasama bagi menyokong inisiatif Malaysia itu, termasuk melalui penyertaan syarikat teknologi AS.

Menurut MCMC, Malaysia akan menentukan reka bentuk, kaedah perolehan dan pengaturan operasi bagi kemudahan Awan AI Berdaulat itu.