Kuala Lumpur: Kerajaan menegaskan tiada konflik kepentingan dalam penganugerahan kontrak THiJARI bernilai RM4.53 juta kepada Cyber Village pada 2019 kerana pemilik atau pengarah syarikat itu tiada hubung kait dengan kepimpinan Tabung Haji (TH).
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, selaras dengan perkembangan teknologi, TH sentiasa berusaha untuk menambah baik penyampaian perkhidmatan supaya lebih mudah diakses oleh masyarakat.
Zulkifli berkata, perkara itu dapat dicapai dengan pembangunan aplikasi digital dan platform dalam talian THiJARI yang dimanfaatkan oleh majoriti pendeposit TH sejak 2020.
Katanya, kontrak bagi membangunkan sistem yang memerlukan kepakaran khusus itu dibuat secara tender membabitkan penyertaan enam vendor.










