TAWAU: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, diberitahu bahawa seorang pegawai polis mendakwa ditempatkan bawah Jawatan Kontinjensi (Tahan Kerja) dan kehilangan pemangkuan pangkat Sarjan Mejar selepas dituduh terbabit kes pembunuhan pemandu e-hailing, Nurman Bakaratu, pada Januari 2023.

Saksi ke-15 plaintif, Khairul Azman Bakar, 49, berkata kedua-dua tindakan pentadbiran itu berkuat kuasa pada 17 Februari 2023 ketika beliau masih berdepan pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau yang mempunyai pengalaman selama 26 tahun dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkata, tindakan berkenaan menjejaskan perjalanan kerjaya, reputasi profesional serta peluang kenaikan pangkatnya.

Katanya, sebelum ditahan, beliau bertugas sebagai Penolong Pegawai Perisikan Operasi IV di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).