Kementerian Perpaduan Negara semalam putuskan untuk tidak meneruskan cadangan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN).

PETALING JAYA: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan mencadangkan supaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melantik seorang Pesuruhjaya Keharmonian bagi memberi tumpuan khusus kepada isu keharmonian sosial.

Cadangan itu menyusuli keputusan untuk tidak meneruskan penubuhan Suruhanjaya Keharmonian Nasional (SKN) sebaliknya memperkukuh institusi dan mekanisme sedia ada bagi menangani isu berkaitan perpaduan.

Keputusan itu diumumkan Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang semalam selepas dua sesi libat urus dengan pelbagai pihak.

KPN dalam kenyataan berkata ia akan mengadakan perbincangan lanjut dengan Suhakam bagi melihat peranan dan penyelarasan lebih berkesan dalam menangani isu keharmonian sosial.