KUALA LUMPUR: Kadar sewaan khas bagi rumah ibadat dan sekolah bantuan modal yang menduduki tanah rizab di bawah Perbadanan Aset Keretapi (RAC) ditetapkan pada RM1 sebulan, berkuat kuasa 1 Oktober.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, penyeragaman itu menggantikan kadar sewaan berbeza sebelum ini, sekali gus memberi manfaat kepada 53 penyewa sedia ada membabitkan 49 rumah ibadat dan empat sekolah bantuan modal.

Beliau berkata, langkah itu dilaksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) RAC memandangkan rumah ibadat dan sekolah berkenaan bukan institusi yang tidak berorientasikan keuntungan.

“Dulu tiada dasar yang jelas, ataupun dikenakan kadar nominal, tidak mengikut kadar pasaran, ada yang dikenakan RM100, ada RM150. Jadi, sekarang ini kami selaraskan untuk kategori ini sahaja, iaitu rumah ibadat dan juga sekolah,” katanya.