KUALA LUMPUR: Sebanyak 713 kandungan pemalsuan imej atau 'deepfake' membabitkan pemimpin parti politik, telah diturunkan oleh pemberi perkhidmatan hasil permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tempoh 1 Januari 2025 hingga 15 September 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata tindakan itu diambil berdasarkan aduan dikemukakan, pelanggaran garis panduan komuniti pemberi perkhidmatan, serta undang-undang tempatan.

"Penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI), termasuk 'deepfake', penipuan dan pemalsuan identiti, ditangani berdasarkan sifat serta elemen kesalahan dan bidang kuasa kementerian atau agensi penguatkuasaan berkaitan.

"Bagi kandungan yang mempunyai unsur lucah, sumbang, palsu, mengancam, jelik melampau atau memudaratkan, MCMC boleh mengambil tindakan berdasarkan peruntukan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) atau Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866)," katanya.