PELUMBA Moto3 negara, Hakim Danish Ramli enggan lagi menoleh ke belakang susulan siri kemalangan di Grand Prix (GP) Jepun, sebaliknya bertekad bangkit melakar keputusan positif pada GP Indonesia di hujung minggu ini.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu menyifatkan tiga insiden kemalangan yang menimpanya di Motegi minggu lalu sebagai pengajaran berguna untuk memburu keputusan lebih positif di Mandalika.
Hakim Danish yang menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-12 di Jepun itu ketika ini berdepan cabaran tersendiri apabila berlumba dengan masa untuk pulih sepenuhnya daripada kecederaan bahu sebelum sesi latihan bebas pertama bermula pada Jumaat ini.
Kelebihan buat Hakim Danish, Mandalika bukanlah litar asing baginya kerana pernah turun bersaing pada perlumbaan Asia Talent Cup (ATC) kira-kira empat tahun lalu sekali gus mahu kembali bersaing bersama kelompok hadapan.








