PASIR SALAK: Dua maut manakala seorang lelaki parah selepas terlibat dalam kemalangan di Kampung Teluk Sareh, Kampung Gajah di sini pagi tadi.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Siti Qazrina Abdul Rahman, 19, dan Adam Danial Abdul Rahman, 18.
Kedua-dua mangsa dipercayai tercampak ke dalam parit selepas motosikal jenis Yamaha Y15 yang ditunggang mereka terlibat kemalangan dengan sebuah kereta Toyota Yaris.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada pukul 4.29 pagi.
Katanya, sepasukan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kampung Gajah segera dikejarkan ke lokasi kejadian untuk operasi menyelamat.









