Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta Rusia salur maklumat mengenai kematian seorang saintis disebabkan pneumonia, di sebuah makmal kawalan penyakit, di Irkutsk. (Gambar EPA Images)

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) meminta maklumat daripada Rusia mengenai kemungkinan kematian akibat radang paru-paru (pneumonia) di bandar Irkutsk di Siberia, lapor agensi berita Jerman dpa.

Pakar WHO Abdirahman Mahamud berkata di Geneva, permintaan itu didorong laporan media yang telah disahkan dan dianggap boleh dipercayai. Belum ada maklum balas diterima, katanya.

Pihak berkuasa Rusia juga telah diminta memberikan maklumat lanjut berhubung kes pertama iaitu kematian seorang saintis wanita yang bekerja di Institut Kawalan Penyakit Wabak di Irkutsk.