KUALA LUMPUR: Datuk Seri Nazir Hussin Akhtar Hussin mendakwa Yayasan Bank Rakyat (YBR) tidak menghadapi sebarang kerugian sepanjang beliau menggalas jawatan sebagai pengerusi dari tempoh 2020 hingga 2022.

Nazir Hussin berkata, beliau sudah menjalankan tanggungjawabnya sebagai Pengerusi YBR dengan baik dan tiada penyelewengan yang berlaku.

“Saya ingin menegaskan bahawa YBR tidak kehilangan satu sen pun dan tiada kecurian wang berlaku. YBR telah membuat pelaburan sebanyak RM10 juta dan pelaburan tersebut dibuat berdasarkan prinsip good governance, due diligence serta tatakelola yang sewajarnya.

“Lebih penting, modal pelaburan berkenaan telah diperoleh semula sepenuhnya, malah YBR turut menerima pulangan hibah sebanyak RM1.85 juta daripada pelaburan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Jalan Dutamas 1, di sini.