Kuala Lumpur: Seorang mekanik warga Bangladesh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan memberi sokongan material dengan menyediakan makanan kepada individu yang menyeludup 31 migran senegara, bulan lalu.

Mohammad Jony Sheikh, 43, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah unit kediaman di Jalan Sentul Perdana di sini pada 4.30 petang, 10 September lalu mengikut Seksyen 26I(1) Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin tidak menawarkan jaminan kerana kes itu membabitkan kesalahan keselamatan yang tertakluk di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).