syazrina@hmetro.com.my
DI sebalik karya reka bentuk yang pernah terpampang di Trafalgar Square, London terselit perjalanan seorang anak muda Malaysia yang tidak bermula dengan kemewahan atau laluan mudah.
Pereka grafik dan penjenamaan, Sharifah Nadira Syed Nurshadir, 25, dari Shah Alam, Selangor sebaliknya perlu bekerja sambilan ketika melanjutkan pengajian di University of the Arts London (UAL) bagi menampung kos sara hidup sebelum perlahan-lahan membina nama dalam bidang reka bentuk dan penjenamaan.
Lebih menarik, perjalanan kreatif Sharifah Nadira tidak terhenti pada karya yang dipaparkan di lokasi ikonik berkenaan apabila keberaniannya mencipta pendekatan tersendiri kemudian membawanya memenangi 'Graphite Design and Advertising Awards Pencil' (D&AD Pencil) menerusi projek 'Nad Delivers' pada 2025.








