JABATAN Perangkaan merekodkan 228 kejadian bencana kecil pada 2024, meningkat daripada 170 pada tahun sebelumnya, merangkumi antara lain banjir, ribut, tanah runtuh dan kebakaran.

Kita tidak perlu pergi jauh untuk memahami risikonya. Tanah runtuh di Batang Kali pada 2022, misalnya, meragut 31 nyawa selepas hujan berterusan. Siasatan kerajaan mendapati hujan lebat merupakan faktor utama kegagalan cerun tersebut.

Persoalannya bukan sama ada Malaysia akan mengalami ‘bencana Nepal’ tetapi sama ada kita memahami bagaimana risiko terbentuk di tempat kita sendiri.

Di Malaysia, kawasan tadahan, hutan, bukit, sungai, kawasan rendah dan penempatan saling berkait. Apabila hujan turun di kawasan hulu, air tidak berhenti di situ. Ia bergerak mengikut cerun, masuk ke anak sungai, sungai utama dan sistem saliran sebelum sampai ke kawasan yang lebih rendah. Jika pada masa sama berlaku kegagalan cerun atau kapasiti saliran tidak mampu menampung aliran, kesannya boleh menjadi jauh lebih besar.