Kuala Lumpur: Pengacara terkenal, Datuk Aznil Nawawi menegaskan ketidakhadirannya ke majlis perkahwinan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan penyanyi Bella Astillah bukan disebabkan tidak menerima jemputan, sebaliknya dia mempunyai komitmen lain yang tidak dapat dielakkan.

Aznil atau lebih mesra disapa Pak Nil berkata, dia bukan sahaja dijemput menghadiri majlis pasangan itu, malah diminta menggalas tanggungjawab sebagai pengacara, namun terpaksa menolak kerana sudah mempunyai urusan lain pada tarikh berkenaan.

"Saya tak berkelapangan untuk hadir dan sebenarnya wakil daripada Syed Saddiq sudah jemput saya sebelum kalian tahu tarikh perkahwinan mereka lagi.

"Cuma saya tak berkelapangan semasa pernikahan dan juga resepsi kerana saya ada majlis sendiri. Pada waktu yang sama juga, sebenarnya saya dipancing juga untuk menjadi hos majlis perkahwinan tetapi saya berasa ralat kerana tak dapat tunaikan," katanya.