austin@nst.com.my

KUALA LUMPUR: Taktik licik sindiket menjual Permit Memandu Antarabangsa (IDP) palsu kepada warga asing pada harga sehingga RM500 terbongkar selepas dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Lebih mengejutkan, dokumen itu turut dilengkapi pautan laman web khas bagi memperdaya pihak berkuasa kononnya ia sah dan berdaftar.

Permit mengelirukan yang mendakwa sah sehingga lima tahun itu dikesan dan dirampas dalam operasi penguatkuasaan terhadap pemandu warga asing di ibu negara, baru-baru ini.

Semakan mendapati dokumen itu memaparkan butiran laman web yang membolehkan nombor siri permit disemak secara dalam talian, dipercayai dibangunkan sendiri oleh sindiket sebagai lapisan 'penyamaran' bagi meyakinkan anggota penguat kuasa serta pembeli.