KOTA KINABALU: Ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir tidak percaya anak tunggalnya itu melompat dari tingkat tiga bangunan sekolah kerana remaja berkenaan seorang yang ceria, kuat dan tidak mudah mengalah meskipun berdepan provokasi.

Noraidah Lamat, 46, berkata demikian ketika disoal peguam Datuk Ram Singh yang mewakili seorang daripada remaja yang didakwa dalam kes buli membabitkan Zara Qairina pada prosiding inkues kematian remaja itu di Mahkamah Koroner di sini, hari ini.

Ram membangkitkan keterangan pakar sepanjang prosiding inkues sebelum ini yang menurutnya menunjukkan Zara Qairina tidak ditolak dan terdapat kemungkinan remaja itu melompat secara sukarela.

Noraidah berkata, beliau tidak percaya anaknya akan membuat keputusan sedemikian berdasarkan perwatakan Zara Qairina sepanjang membesarkan remaja berkenaan.