Kota Belud: Dua lelaki yang memiliki rekod jenayah lampau berkaitan penipuan dan penyalahgunaan dadah ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan urusan permohonan Kad Pemastautin Tetap (MyPR) di daerah ini.
Kedua-dua suspek warga tempatan berusia 33 dan 41 tahun itu ditahan dalam serbuan di dua lokasi berasingan, hari ini, susulan laporan seorang wanita yang mendakwa kerugian RM6,000 selepas membuat bayaran bagi menguruskan permohonan MyPR.
Ketua Polis Daerah Kota Belud Superintendan Khairul Shah Peri berkata, hasil serbuan berkenaan, polis merampas pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan itu.
Katanya, antara yang dirampas termasuk sebuah kereta, kad pengenalan, kad MyPR, telefon bimbit, komputer riba, cop serta pelbagai peralatan dan dokumen berkaitan.










