KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 membuka peluang lebih luas kepada syarikat Bumiputera menerusi peningkatan nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan kepada kontraktor G1 hingga G4 serta pembiayaan sehingga RM1 bilion melalui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU).
Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Junady Nawawi, berkata peningkatan nilai perolehan itu menjadi langkah penting untuk memperluas penyertaan syarikat Bumiputera dalam rantaian nilai ekonomi negara.
Pada masa sama, katanya, pembiayaan melalui TERAJU akan memperkukuh akses kepada modal bagi membantu syarikat mengembangkan perniagaan, meningkatkan kapasiti, memperkukuh daya saing dan menembusi pasaran baharu.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 mencerminkan peralihan penting daripada usaha meningkatkan penyertaan kepada pembinaan syarikat Bumiputera yang lebih berdaya tahan, berdaya saing dan mampu berkembang ke peringkat lebih tinggi.









