KUALA LUMPUR: Malaysia dan Mesir akan mengadakan mesyuarat dua hala esok bagi menilai kemajuan kerjasama antara kedua-dua negara, selain bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.
Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi tiba di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini kira-kira jam 6.20 petang tadi bagi memulakan lawatan negara dua hari ke negara ini.
Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, mesyuarat bersama Presiden El-Sisi itu, turut menyaksikan pertukaran beberapa memorandum persefahaman antara Malaysia dan Mesir.
"Usai pembentangan Belanjawan MADANI Kelima (hari ini), saya terus ke Kompleks Bunga Raya, KLIA bagi menyambut ketibaan Presiden El-Sisi, yang mengadakan Lawatan Negara atas undangan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.









