BELANJAWAN 2027 dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, bukan sekadar hamparan angka RM510 bilion, sebaliknya mengisyaratkan ikhtiar besar menghubungkan pertumbuhan ekonomi dengan kesejahteraan rakyat. Berteraskan tema 'Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi', jumlah itu merangkumi RM376.8 bilion belanja mengurus; RM83 bilion pembangunan serta pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), kerjasama awam-swasta, badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan.
Lapan lunas digariskan memperlihat keluasan ikhtiarnya, daripada menangani kos sara hidup, mengutamakan semua negeri dan membela kumpulan tumpuan hingga mempertingkat perkhidmatan rakyat, kesiapsiagaan negara, keupayaan ekonomi, citra nusa serta tatakelola wang awam. Peningkatan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) kepada RM16 bilion, gaji minimum RM2,000 mulai Jun 2027, pelepasan cukai individu RM12,000 serta peruntukan lebih besar untuk pendidikan dan kesihatan menunjukkan pertumbuhan mahu diterjemahkan kepada kehidupan lebih bermaruah.









