Tashkent: Perenang Afrika Selatan, Pieter Coetze mencipta rekod dunia baharu acara 50 meter (m) kuak lentang kolam pendek selepas mencatat masa 22.09 saat (s) pada saingan Piala Dunia Akuatik di Tashkent, Uzbekistan.

Catatan itu memadam rekod terdahulu 22.11s yang dilakukan perenang Russia, Kliment Kolesnikov di Kazan pada 2022.

Kolesnikov turut memegang rekod dunia acara 50m kuak lentang kolam panjang dengan catatan 23.55s.

Bagi Coetze, 22, kejayaan itu menjadi pencapaian pertama dalam kariernya sebagai pemegang rekod dunia, selepas dia hampir memecahkan rekod dunia acara 100m kuak lentang pada Sukan Komanwel di Glasgow, Julai lalu.