PETALING JAYA – Seorang penjenayah yang tular dalam insiden mengejar semalam akhirnya tumpas selepas cedera ditembak polis ketika cuba meloloskan diri di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Damansara Damai di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.42 petang itu, suspek berusia lingkungan 30-an yang memandu kereta jenis Proton Wira telah melanggar kenderaan awam sebelum meninggalkan keretanya dan cuba melarikan diri dengan berlari di lebuh raya.

Bagaimanapun, tindakan suspek itu berakhir apabila dia berjaya diberkas selepas mengalami kecederaan akibat terkena tembakan yang dilepaskan anggota polis ketika kejadian.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden mengejar antara polis peronda dengan kereta suspek dari Persiaran Mahogani menghala ke Sungai Buloh.