ADA belanjawan yang sekadar mengagihkan wang. Ada belanjawan yang cuba memujuk semua pihak. Ada belanjawan yang mempunyai keberanian untuk membuat pilihan. Belanjawan MADANI 2027 berada dalam kategori ketiga.

Dengan kekuatan keseluruhan RM510 bilion, belanjawan kelima Kerajaan MADANI bukan sekadar besar dari segi angka.

Ia lebih menarik kerana memperlihatkan dengan semakin jelas pendekatan ekonomi Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, iaitu membantu rakyat hari ini, tetapi pada masa sama berani membetulkan struktur ekonomi untuk hari esok.

Atas sebab itu, Belanjawan 2027 wajar disebut sebagai 'Belanjawan Bertaring'. Taringnya bukan pada retorik. Taringnya terletak pada keberanian kerajaan menggabungkan perkara yang lazimnya dianggap sukar untuk dilakukan secara serentak, iaitu meningkatkan perbelanjaan, memperbesar bantuan rakyat, menaikkan lantai gaji, merangsang pelaburan dan dalam masa yang sama terus menurunkan defisit fiskal.