KOTA BHARU: Projek pembangunan berimpak besar menerusi Belanjawan 2027 berpotensi mengubah landskap pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup rakyat negeri serambi Mekah selepas sekian lama berdepan masalah bekalan air bersih, banjir serta pengangkutan awam.
Ketua Wanita Pakatan Harapan (PH) Kelantan, Dr. Hafidzah Mustakim berkata, keseluruhan projek yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah pemangkin perubahan yang mampu membawa manfaat besar kepada rakyat negeri ini.
Katanya, antara projek yang diberi perhatian adalah perancangan Empangan Lebir bagi menangani masalah banjir dan bekalan air, pembinaan Loji Rawatan Air Machang, penggantian paip uzur serta pembangunan stesen bas di Stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Kota Bharu.








