PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menunggu kepastian mengenai peruntukan kerajaan bagi persiapan skuad bola sepak negara menghadapi Sukan SEA 2027 selepas tiada dana khusus untuk sukan itu diumumkan dalam Belanjawan 2027.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman berkata, badan induk itu menghormati keutamaan kerajaan dalam merangka belanjawan, namun berharap keperluan pembangunan bola sepak negara terus mendapat perhatian menerusi kerjasama dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta agensi berkaitan.
Beliau berkata, FAM belum menetapkan anggaran dana yang bakal diterima bagi menghadapi temasya dwitahunan itu kerana mekanisme agihan serta peruntukan khusus untuk bola sepak masih belum diperincikan.









