Gambar dan video tular di media sosial menunjukkan sebuah Chery Omoda 5 di jalan raya dengan gandar belakang dan roda terpisah daripada badan kenderaan. (Gambar Facebook)PETALING JAYA: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggantung sementara Sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) bagi Chery Omoda 5 dan menangguhkan pendaftaran baharu model itu sehingga siasatan teknikal selesai susulan insiden gandar belakang tercabut di Johor Bahru baru-baru ini.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli, berkata langkah pencegahan awal itu dilaksanakan secara bersasar terhadap model dan varian berpotensi terjejas dengan isu keselamatan berkenaan.
"JPJ juga akan melaksanakan audit teknikal terhadap proses pengeluaran dan pemasangan Chery Omoda 5 dan pembekal komponen gandar berkaitan, merangkumi pematuhan amalan pengilangan baik, sistem kawalan kualiti, prosedur pemeriksaan sambungan kimpalan serta tahap keselamatan komponen yang digunakan," katanya dalam kenyataan.







