SEREMBAN – Pakatan Harapan (PH) menyasarkan untuk merampas kembali kerusi Parlimen Tampin pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan jentera gabungan itu diminta memperkukuh gerak kerja dan mendekati pengundi mulai sekarang.

Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, semua pihak perlu bekerja lebih keras bagi mengembalikan keyakinan rakyat, selain membuktikan kemampuan PH menerusi prestasi pentadbiran dan khidmat kepada masyarakat.

Beliau yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berkata, usaha merampas kembali Tampin perlu menjadi antara tumpuan utama gabungan itu dalam persiapan menghadapi PRU yang dijangka berlangsung pada Oktober atau November tahun depan.