KUALA LUMPUR: Vokalis kumpulan Nidji, Ubay berharap perselisihan yang berlaku antara segelintir masyarakat Malaysia dan Indonesia tidak menjejaskan hubungan persaudaraan yang telah lama terjalin antara kedua-dua negara.

Menurut Ubay, muzik seharusnya menjadi medium penyatuan masyarakat tanpa mengira perbezaan pendapat, latar belakang mahupun kewarganegaraan.

“Jangan sampai apa sahaja perbezaan yang wujud memecahbelahkan atau memisahkan kita. Bagi Nidji, kami berharap muzik dapat menyatukan semua orang, sama ada dari Indonesia, Malaysia atau mana-mana negara sekalipun.

“Melalui muzik, kita boleh menikmati sesuatu secara bersama. Janganlah kita membiarkan perbezaan menjadi punca perpecahan kerana sebagai pemuzik, cara terbaik untuk kami menyatukan masyarakat adalah menerusi muzik itu sendiri,” katanya ketika ditemui pada sesi sidang media NU Fest, hari ini.