NEW YORK: Ratusan penumpang sebuah penerbangan antarabangsa menuju ke Texas berdepan detik mendebarkan selepas enam daripada lapan tandas di dalam pesawat berkenaan rosak serentak ketika merentasi Lautan Atlantik.

Insiden berkenaan melibatkan penerbangan American Airlines AA37 yang berlepas dari Madrid, Sepanyol menuju ke Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas/Fort Worth pada minggu lalu.

Disebabkan kegagalan fungsi sistem tandas tersebut, juruterbang terpaksa mengambil keputusan untuk melencongkan pesawat berkenaan ke Lapangan Terbang Antarabangsa John F. Kennedy (JFK) di New York bagi mendarat cemas.

Jurucakap American Airlines mengesahkan kejadian berkenaan dan menyatakan bahawa keputusan melencongkan penerbangan itu dibuat berikutan masalah teknikal pada fasiliti tandas pesawat.