KUALA LUMPUR: Tourism Malaysia dan Alipay+, gerbang pembayaran dompet digital bersepadu milik Ant International, memeterai memorandum persefahaman (MoU) bagi mempercepat perdagangan rentas sempadan serta memperluas pendigitalan perniagaan dalam sektor pelancongan Malaysia.
Kerjasama itu bertujuan menghubungkan pelancong antarabangsa secara langsung dengan pengusaha tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), menerusi gabungan pemasaran destinasi Tourism Malaysia, rangkaian dompet digital global Alipay+ dan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Inisiatif berkenaan dilaksanakan ketika Malaysia menyambut ketibaan pelawat sempena Tahun Melawat Malaysia 2026–2027 (VM2026–2027), dengan matlamat memperluas perbelanjaan pelancong ke kawasan di luar hab pelancongan utama sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang lebih menyeluruh.








