LUMUT: Sebuah vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas C yang disyaki melanggar syarat sah lesen ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) bersama lima nelayan warga Myanmar termasuk seorang tekong, Sabtu lalu.

Vesel dinaiki kru berusia 26 hingga 56 tahun itu ditahan pasukan penguatkuasa pada pukul 5 petang pada kedudukan kira-kira 8.6 batu nautika barat daya Pulau Buluh, di sini.

Pengarahnya, Kapten Mohamad Shukri Khotob berkata, penahanan dilakukan oleh aset Maritim Malaysia ketika melaksanakan operasi penguatkuasaan di sekitar perairan Selat Melaka.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati vesel tersebut yang dikendalikan lima kru warga Myanmar itu sedang menjalankan aktiviti perikanan di kawasan berkenaan.