Kuala Lumpur: Pemain badminton profesional Lee Zii Jia memohon injunksi interim di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi menghalang bapa dan kakaknya daripada membuat keputusan kewangan dan pengurusan tertentu di LZJ Management sementara pertikaian undang-undang masih berjalan.

Dalam saman yang difailkan pada 2 Julai lalu, Zii Jia menamakan bapanya, Lee Chee Hin; kakaknya, Lee Zii Yii; adiknya, Lee Tao; dan LZJ Management sebagai responden.

Beliau memohon untuk menghalang Chee Hin dan Zii Yii, yang kedua-duanya merupakan pengarah syarikat, daripada meluluskan yuran pengarah, elaun, bonus atau manfaat kewangan lain untuk diri mereka sendiri yang melebihi gaji bulanan mereka.

Permohonan itu juga bertujuan menyekat keputusan mengenai pelantikan dan penyingkiran pengarah, pelantikan setiausaha syarikat, pelupusan aset utama, penerbitan saham baharu serta perubahan pada struktur pegangan saham syarikat tanpa kelulusan mahkamah.