BERBAKI beberapa hari sahaja lagi, kumpulan nasyid legenda tanah air, Hijjaz bakal melakar sejarah tersendiri apabila buat pertama kali mendendangkan sebanyak 32 buah lagu menerusi konsert Hijjaz 3 Dekad: Rindu Sumayyah yang berlangsung pada 16 dan 17 Oktober ini.

Rancak membuat persiapan akhir menjelang konsert yang berlangsung di Panggung Sari, Istana Budaya itu, penyanyi utama Hijjaz, Munif Ahmad mengakui jumlah lagu yang banyak menjadi antara cabaran terbesar buat mereka.

Menurutnya, perkara tersebut sememangnya menimbulkan kerisauan, namun setiap anggota berusaha menjaga stamina sejak sebulan lalu bagi memastikan mereka tidak ‘pancit’ ketika menjayakan persembahan.

“Hijjaz akan menyampaikan 32 buah lagu termasuk yang dibuat secara medley, manakala artis jemputan kebanyakannya akan menyanyi satu lagu solo mereka dan satu lagu duet bersama kami.