ISTANBUL: Gabungan diketuai Arab Saudi di Yaman berjaya memintas dan memusnahkan peluru berpandu balistik yang didakwa dilancarkan kumpulan Houthi ke arah Riyadh, lapor Anadolu Ajansi.

Gabungan itu memaklumkan perkara berkenaan dalam hantaran melalui platform X, petang semalam.

Pengumuman itu dibuat selepas Pertahanan Awam Arab Saudi memaklumkan bahawa ancaman di Riyadh telah berakhir, beberapa minit selepas amaran awal dikeluarkan berhubung 'potensi ancaman.'

Riyadh berdepan serangan kumpulan Houthi sejak kebelakangan ini, termasuk serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa King Khalid selama dua hari yang menyebabkan operasinya digantung sementara.