Sanaa: Pegawai Houthi memberi amaran kepada Amerika Syarikat (AS) bahawa negara itu akan menerima 'tindak balas yang menyakitkan' jika campur tangan dalam perang di Yaman, yang mana Arab Saudi dilapor meminta bantuan Washington untuk menangani kumpulan itu ketika berdepan serangan berulang.
Perang saudara Yaman yang menyaksikan pakatan tentera diketuai Arab Saudi menyokong kerajaan menentang kumpulan Houthi yang disokong Iran, tercetus semula pada Julai lalu iaitu beberapa bulan selepas konflik serantau yang lebih luas menggegarkan pasaran tenaga dan mengheret Timur Tengah ke dalam krisis.
Kumpulan Houthi menyasarkan kemudahan minyak, kapal tangki dan hab pengangkutan Arab Saudi, termasuk beberapa siri serangan maut ke atas lapangan terbang Riyadh yang sekali gus menggegarkan pengeksport minyak terbesar dunia itu.









