PERMATANG PAUH : Orang ramai yang berada di sekitar Pasar Awam Sama Gagah di sini digemparkan dengan penemuan mayat berbalut kain dalam kawasan longkang berhampiran sebuah kedai makan, kira-kira pukul 7 pagi tadi.
Difahamkan, mayat berkenaan merupakan mayat seorang lelaki yang dipercayai berusia dalam lingkungan 50-an dan berbadan kurus. Bagaimanapun, identiti sebenar lelaki terbabit masih belum dapat dikenal pasti ketika ini.
Seorang pengunjung yang dikenali sebagai Azmi, 40-an berkata, dia menyedari kejadian itu ketika baru sahaja tiba di pasar awam tersebut untuk membeli sarapan pagi.
“Kalau tengok saiz longkang itu (tempat mayat ditemukan) kecil sahaja berbanding saiz mayat. Jadi, nampak seolah-oleh mayat tersebut sengaja cuba disumbat atau disorokkan di situ,” katanya kepada Utusan Malaysia.








