KANGAR: Seorang lelaki warga Myanmar etnik Rohingya direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 19 Oktober depan, bagi membantu siasatan berhubung kes penemuan rangka manusia.

Suspek berusia 38 tahun itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Kangar di sini, pada jam 9.46 pagi sebelum dibawa keluar selepas prosiding permohonan reman selesai pada jam 10.09 pagi.

Perintah reman dikeluarkan Majistret Nurul Natasha Rizal bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, suspek yang juga pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) ditahan pada jam 12 tengah hari semalam, di sebuah rumah di Kuala Perlis.