Alor Setar: Seorang lelaki didakwa di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 72 kilogram (kg) dadah jenis kanabis bulan lalu.

Tertuduh, Muhammad Faiz Nazri, 26, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Eliana Ismail.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 72kg ketika ditahan di jalan selepas Plaza Tol Alor Setar Selatan, kira-kira jam 6.30 petang, 24 September lalu.

Berikutan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang, jika sabit kesalahan, boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup.