Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia melonjak 14 anak tangga ke ranking ke-42 dunia dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini, susulan kejayaan mara ke separuh akhir Terbuka Artik di Finland, minggu lalu.

Zii Jia yang memulakan kejohanan Super 500 itu di ranking ke-56 dunia mempamerkan aksi meyakinkan apabila menewaskan pemain nombor dua dunia dari Perancis, Christo Popov, 21-11, 21-16 pada suku akhir.

Bagaimanapun, cabarannya berakhir di separuh akhir selepas tewas kepada wakil Denmark, Anders Antonsen, 11-21, 21-15, 16-21.

Peningkatan ranking itu memberi suntikan semangat kepada bekas pemain nombor dua dunia dan pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu selepas bergelut dengan kecederaan serta prestasi tidak konsisten sebelum ini.