​BENTONG: Pandangan secara terbuka yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer berhubung kes Yayasan Akalbudi melibatkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi disifatkan sebagai cubaan memainkan persepsi politik yang boleh menjejaskan keharmonian Kerajaan Perpaduan.

​Pemangku Ketua UMNO Bahagian Bentong, Senator Datuk Seri Mohamad Zaini Salleh berkata, kenyataan Ahli Parlimen DAP itu di Dewan Rakyat menunjukkan kedangkalan memahami skop kuasa institusi negara, manakala keputusan membabitkan proses perundangan dan Pejabat Peguam Negara adalah berasaskan lunas undang-undang serta fakta kes semata-mata.

​Menurutnya, tindakan melempar tuduhan kononnya wujud “pendakwaan terpilih” atau pendakwaan berbeza terhadap pemimpin politik tertentu secara tidak langsung merosakkan keyakinan rakyat terhadap kebebasan institusi kehakiman dan kedaulatan undang-undang.