PUTRAJAYA – Malaysia menjadi negara pertama di dunia yang berjaya meyakinkan Myanmar untuk menerima kembali pelariannya, sekali gus mencerminkan kejayaan diplomatik negara yang hebat, kata Jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dizahirkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai satu pencapaian diplomatik yang luar biasa.

“Ini satu pencapaian luar biasa kerana seperti yang Perdana Menteri maklumkan, Malaysia merupakan negara pertama di dunia berjaya meyakinkan sebuah negara seperti Myanmar untuk menerima kembali pelariannya.

“Semua dipulangkan pada kos ditanggung oleh pihak Myanmar itu sendiri. Jadi ini satu pencapaian diplomatik yang cukup membanggakan,” katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Komunikasi anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bagi Oktober 2026 di sini hari ini.