PETALING JAYA: Pemimpin DAP digesa menghentikan pertelingkahan dalaman parti berhubung isu gaji minimum dan sebaliknya memberi tumpuan kepada usaha menangani masalah struktur gaji rendah yang membebankan rakyat.

Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama), Lee Chean Chung dan Sum Dek Joe berkata, perbalahan antara dua pemimpin DAP iaitu Lim Guan Eng dan Teng Chang Khim berhubung cadangan gaji minimum memperlihatkan keutamaan politik kepartian mengatasi nasib pekerja tempatan.

Menurut mereka, kenyataan Guan Eng yang mencadangkan supaya pekerja asing dikecualikan daripada kenaikan gaji minimum adalah tidak munasabah dari sudut ekonomi kerana ia hanya akan menggalakkan majikan terus bergantung kepada buruh murah berbanding mengambil pekerja tempatan.