KULAI: Lapan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing bertempat di Pangsapuri Desa Indah, Desa Idaman, Senai di sini diarah tutup serta merta oleh pihak berkuasa tempatan (PBT), semalam.

Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dalam satu kenyataan memberitahu, kesemua premis berkenaan didapati beroperasi tanpa sebarang lesen sah selain melanggar pelbagai syarat ditetapkan PBT.

“MPKu telah menjalankan satu operasi bersepadu bertujuan mencegah, membanteras dan meningkatkan kawalan perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing.

“Lapan premis perniagaan yang dikendalikan warga asing diarah tutup serta merta dan satu premis disita kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan melanggar syarat-syarat lesen selaras dengan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPKu) 2019,” jelas kenyataan itu.